August 17, 2008
SOLEH TEEN Community (STC) merupakan pusat komuniti info bagi program motivasi remaja dan belia "SolehTeen Camp" anjuran dan kendalian ProQuest. Program ini dikhususkan kepada remaja berumur 13 hingga19 tahun. Penyertaan ahli STC adalah hanya untuk alumni (bekas peserta) program SOLEH TEEN Camp. Ia adalah pusat komuniti dalam bentuk maya yang akan memberikan setiap ahlinya pelbagai kelebihan untuk masa depan mereka.
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia itu sebagai sebaik-baik kejadian” (Surah At-Tiin : 4)
PENGENALAN
Manusia pada fitrah kejadiannya telah dicipta dengan penuh teliti dan suci untuk diangkat martabatnya sebagi pemimpin dan pemegang amanah untuk bertanggungjawab pada memakmurkan alam raya. Darjat manusia ditinggikan melebihi seluruh makhluk yang lain. Ini membuktikan bahawa ia telah diberikan potensi yang amat hebat bagi melaksanakan tugasnya di muka bumi ini, melebihi seluruh makhluk ciptaan Allah yang lainnya. Dengan keseimbangan tahap kecerdasan Akal, Rohani, Emosi dan Fizikal, manusia pastinya mampu membina kecemerlangan pada impian yang tersimpan pada kepercayaan diri. Apabila manusia mengerti dan menghayati akan tujuan penciptaannya, seluruh kehidupannya akan terarah untuk membangkit potensi tersebut bagi mencapai maksud agung penciptannya iaitu memakmurkan muka bumi yang bermula dengan membina kecemerlangan diri.
Di dalam menjalani kehidupan, setiap manusia akan membuat keputusan untuk memberi balas dan bertindak pada kepercayaan yang terbina didalam diri. Kepercayaan itu pula terbina pada setiap yang masuk ke dalam diri melalui pintu pancaindera dan membentuk pandangan hidup, sistem kepercayaan, sistem nilai dan kesemuanya ini akan membentuk sikap. Dari sikap inilah lahirnya tingkahlaku zahiriah seseorang yang menjalani kehidupan sehariannya. Umpama software yang mengawal sistem komputer, begitu juga lah sikap ini akan mengawal peribadi seseorang itu. Walau bagaimana hebat sekali pun hardware yang ada tetapi jika tidak dimasukkan software yang berpadanan, maka keseimbangan tidak mungkin akan dicapai.
Maka, untuk melahirkan manusia yang mampu mencipta kejayaan yang hakiki, sistem kepercayaan seseorang itu perlu dibina dengan menjuruskan pandangan hidup, sistem kepercayaan, sistem nilai dan sikap ke arah yang ingin dicapai. Apabila sistem kepercayaan yang positif sudah terbina di dalam diri, motivasi diri akan menjelma. Di sini, manusia akan terus berjuang sejajar dengan kepercayaan yang ada dalam diri. Walau apapun dugaan yang mendatang, tetap akan diharungi demi mencapai apa yang dipercayainya itu. Ianya bermula pada cara pandangan alam seseorang dan bagaimana ia bertindak balas kepadanya.
Dengan ini, PROQUEST TRAINING & MANAGEMENT (ProQuest) telah merangka modul khusus untuk tujuan di atas. Program-program pembangunan pelajar giat dijalankan bagi memastikan para pelajar mempunyai ilmu dan pandangan hidup yang benar untuk membentuk jati diri yang kukuh sekaligus mampu menghadapi cabaran dunia remaja. Berbekalkan kekuatan kendiri, mereka mampu menangkis gejala sosial yang semakin menghakis identiti remaja pada setiap ruang waktu dan acara. Dalam jangka masa panjang, golongan inilah yang akan menjadi pewaris takhta kepimpinan dan tauladan buat kelompok remaja seterusnya yang silih berganti dari masa ke semasa.
Semoga program ini mampu membantu meningkatkan keyakinan diri di kalangan para pelajar dalam menunaikan amanah selaku khalifah Allah s.w.t, seterusnya berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
”...jikalau engkau hendak melihat masyarakat akan datang, lihatlah generasi muda pada hari ini.”
(Ahli hikmah)
OBJEKTIF PEMBELAJARAN
Program STC yang merupakan pembentukan dalaman individu ini bertujuan untuk :-
- Membawa peserta mengenal persoalan asas kehidupan sebagai penentu visi dan misi hidup.
- Membentuk pandangan hidup yang memahami bahasa alam sebagai asas pembentukan sikap.
- Memberi contoh terbaik kehidupan pada pembinaan nilai-nilai agung dalam diri.
- Membawa pelajar menginsafi kekerdilan diri agar sering bergantung harap kepada Tuhan.
- Membangkit semangat motivasi peserta untuk berjuang dalam mengisi makna kehidupan.
- Memberi kesedaran pada hakikat kehidupan yang sebenarnya.
- Membina impian dan keyakinan diri supaya bersungguh-sungguh memajukan potensi diri.
- Mengenal bentuk-bentuk cabaran dan halangan kejayaan serta bagaimana mengatasinya.
HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir program, adik-adik (anak-anak kita) InsyaAllah akan boleh dan mampu :-
- Mendefinisikan kejayaan dan kegagalan serta merancangnya mengikut impian yang dibina.
- Mengenali siapa dirinya secara hakiki dan tahu makna serta tujuan hidupnya.
- Menerangkan peranan ilmu dan kesannya dalam pembentukan sikap.
- Memahami alam sebagai bahasa dan kehendak Tuhan dan bagaimana berinteraksi dengannya.
- Menyenaraikan tanda-tanda Allah dan kesannya ke atas diri.
- Menerangkan maksud Allah sebagai Tuan Punya dan ditujukan pengabdian.
- Menyenaraikan harta-harta Allah pada diri ikut keutamaan.
- Memberikan contoh-contoh menghargai dan mengkhianati Allah sebagai asas kejayaan.
- Membezakan makna hamba dan kuli.
- Menerangkan kesan ke atas diri sebagai orang kepercayaan Allah.
- Menjelaskan bagaimana sifat Allah boleh membentuk jati diri.
- Menjelaskan Islam sebagai cara hidup.
- Menghasilkan perancangan dan hala tuju diri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Currently have 0 comment:
Post a Comment